Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan lebih setengah bilion ringgit untukmembantu rakyat mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Melalui Pakej Rangsangan Ekonomi yang berjudul Kita Selangor 2.0, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari telah berkata pelan ini bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat Selangor.
“Menginsafi keluhan rakyat yang sedang menderita kesusahan, makanya Kerajaan Negeri telah merangka Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat Selangor.”
Kita Selangor 2.0 merupakan Pakej Rangsangan Ekonomi terbesar yang telah diumum oleh Kerajaan Negeri Selangor setakat ini.
Ia juga suntikan kewangan keempat yang telah dibuat selepas Selangor Prihatin 1.0, Selangor Prihatin 2.0 dan Kita Selangor 1.0.
Selangor Prihatin 1.0 yang bernilai RM127.8 juta telah diumum pada bulan Mac 2020, manakala Selangor Prihatin 2.0 yang bernilai RM272.5 juta telah diumum pada bulan April 2020.
Kerajaan Negeri Selangor kemudiannya mengumumkan Pakej Kita Selangor 1.0 yang bernilai RM73.9 juta pada bulan Januari 2021.