28.6 C
Kuala Lumpur
Monday, May 23, 2022

Pengerusi Surau, Suri Rumah Dan Pemandu Teksi Nafi Dikenakan Bayaran Oleh Selangor

Beberapa orang peserta Program Vaksin Selangor telah berkata, mereka berjaya menerima suntikan vaksin Covid-19 secara percuma melalui SELangkah.

Kenyataan dan testimoni mereka sekaligus menyangkal pertuduhan liar beberapa blog berbayar seperti Rotikaya dan Agenda Daily, yang memainkan isu kononnya Kerajaan Negeri Selangor mengenakan bayaran sebanyak RM350 untuk mendapat vaksin.

Siaran-siaran tidak bertanggungjawab oleh Rotikaya, sejak dua hari yang lalu

Kekeliruan yang cuba disemai oleh blog-blog UMNO

Ketika ditemui di Dewan Seri Siantan Jalan Sungai Tua semalam, Che Hamid Che Jusoh yang merupakan Pengerusi Surau Darul Hidayah Pinggiran Baru Caves telah mengesahkan bahawa beliau tidak dikenakan sebarang bayaran bagi mendapatkan vaksin.

Beliau juga menambah, ahli-ahli surau dan masjid yang tergolong sebagai golongan berisiko di kawasan Gombak juga tidak dikenakan sebarang pembayaran.

“Setiap surau dan masjid di kawasan saya perlu hantar 15 nama untuk program berkenaan. Jadi saya hantar nama ahli jawatankuasa (AJK) surau yang terlibat dalam kerja kebajikan.”

“Saya bagi nama AJK surau kerana mereka golongan berisiko. Kami terlibat dalam kerja sukarelawan menghantar keperluan makanan kepada keluarga memerlukan termasuk yang menjalani kurantin di rumah.”

Selain Che Jusoh, seorang suri rumah yang bernama Nurul Ashura Mustafa berkata, dia mendaftar melalui Kerajaan Negeri Selangor sebaik sahaja mengetahui program tersebut pada minggu lepas, dan tidak dikenakan sebarang pembayaran.

“Saya boleh sahkan memang tiada bayaran dikenakan. Pihak yang terlibat mencari peserta juga tidak meminta sebarang bayaran.”

“Apabila tahu ada dibuka pendaftaran vaksin di bawah program itu, saya bagi nama dan daftar melalui aplikasi SELangkah sebelum diminta hadir menerima suntikan pada hari Isnin.”

Seorang pemandu teksi, Ramlan Sulaiman, 58 tahun berkata, beliau berharap masyarakat tidak terpedaya dengan kekeliruan yang cuba dibangkitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Vaksin diberi percuma. Jadi orang awam jangan mudah tertipu. Kita perlu peka dan dapatkan maklumat daripada sumber yang sahih.”

“Jika tidak pasti dapatkan pengesahan daripada petugas atau pihak berwajib. Banyak pihak yang mengambil kesempatan dan ada juga sengaja menimbulkan isu yang tidak ada ketika negara bergelut dengan Covid-19.”

Semakan ke media sosial juga mendapati ramai rakyat biasa telah berjaya menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui Program Vaksin Selangor.

Untuk rekod, Program Vaksin Selangor adalah inisiatif yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, susulan aduan dari orang awam bahawa Selangor telah dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurut statistik rasmi, setakat 26 Jun 2021, Selangor merekodkan 83.42% kadar pendaftaran, iaitu antara yang tertinggi di seluruh negara.

Selangor antara yang tertinggi

Namun, kadar pengedosan vaksin hanya berada pada tahap 12.64% sahaja, iaitu antara yang terendah di seluruh negara.

Ini bererti lebih 80% penduduk di Selangor telah mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin, tetapi hanya sekitar 10% diberi vaksin oleh Kerajaan Persekutuan.

Ekoran hakikat dan kenyataan ini, Kerajaan Negeri Selangor telah mula memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan, dan mendesak supaya dibenar memperolehi vaksin sendiri.

Oleh kerana tidak mahu menunggu peruntukan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan dan meluluskan sebuah peruntukan sendiri agar 250,000 penduduk di Selangor boleh menerima vaksin secara percuma.

Penerima-penerima ini tidak dikenakan caj seperti yang difitnah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, perlu ditekankan di sini bahawa usaha murni Kerajaan Negeri Selangor adalah tertakluk kepada kerjasama Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri Selangor telah melakukan apa yang terdaya dalam bidang kuasa sebagai sebuah kerajaan negeri, seperti menyediakan dana dari rizab Kerajaan Negeri, menggerakkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi-agensi, anak-anak syarikat, kakitangan-kakitangan awam dan jentera yang berada di bawah naungan Kerajaan Negeri.

Selebihnya seperti kelulusan kemasukan vaksin adalah tertakluk kepada keputusan Kerajaan Perdekutuan, kerana Kementerian Kesihatan sedang memonopoli bekalan vaksin melalui Pharmaniaga dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Kerajaan Negeri Selangor tidak mampu membawa vaksin dari luar negara, dan hanya boleh mendapatkan vaksin daripada agensi-agensi dan pihak-pihak yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan.

Sekiranya Kerajaan Persekutuan terus berdolak dalih dan bermain silap mata, maka Selangor akan terus dianaktirikan dalam pembahagian vaksin Covid-19.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

118,559FansLike
731FollowersFollow
438FollowersFollow

Berita Terkini