Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang merupakan sekutu utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dilihat keberatan memuktamadkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor dalam Pilihan Raya Negeri Selangor akan datang.
Bercakap kepada media pada hari ini, Roslan Shahir yang merupakan Setiausaha PAS Selangor berkata, PAS sendiri mempunyai ramai calon untuk diangkat sebagai calon MB.
“Sebagai komponen PN, PAS Selangor mempunyai ramai calon berpengalaman dan berkaliber yang boleh dipertimbangkan sebagai calon MB sekiranya PN berjaya memerintah negeri ini.”
Tambah Roslan, PAS mampu mentadbir kerana bekas pemimpin-pemimpin PAS yang menjadi anggota pentadbiran di bawah pentadbiran Azmin pada sebelum ini telah berkhidmat dengan cemerlang.
Selain Roslan, Datuk Yunus Hairi yang merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor juga dilihat keberatan mengesahkan Azmin sebagai calon MB PN yang terbaik.
Kata Yunus, keputusan siapa “poster boy” dan calon MB masih dalam perbincangan dan perkara itu dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Siapa calon MB kita belum putuskan kerana ia akan diputuskan di peringkat pusat. Kita kena bincang secara halus supaya ia menjadi keputusan terbaik,” kata Naiib Pengerusi PN Selangor itu yang juga menjangkakan PRN akan diadakan sebelum Jun ini.
Media sebelum ini melaporkan bahawa PN mungkin mencalonkan Azmin sebagai MB Selangor.
Penganalisis politik Azmi Hassan berkata, meskipun tewas pada PRU15 lalu, Azmin mempunyai kelebihan diketengahkan sebagai calon Menteri Besar Selangor daripada PN kerana mempunyai pengaruh dan kredibiliti berbanding pemimpin PN lain.
Pada PRU15 lalu, PN menawan enam kerusi Parlimen di Selangor iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat. PH pula menang 16 kerusi Parlimen.
Di peringkat DUN Selangor, PAS yang merupakan sebahagian daripada PN hanya mewakili satu kerusi di Sijangkang, manakala Bersatu memiliki empat kerusi iaitu Azmin (Bukit Antarabangsa), Hilman Idham (Gombak Setia), Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) dan Datuk Adhif Syan Abdullah (Dengkil).
Untuk rekod, Roslan telah terkait dengan skandal melayan porno “gay” dan shemale melalui Twitter pada Mei 2021.
Bagaimanapun, Roslan mendakwa akaunnya digodam. Parti PAS juga mempertahankannya dan mendakwa insiden tersebut merupakan serangan peribadi terhadap pemimpin PAS.