Jumlah kes kumulatif Covid-19 di Malaysia telah mencecah paras satu juta pada hari Ahad, 25 Julai 2021.
Kementerian Kesihatan dalam suatu pengumuman hari ini berkata, jumlah 17,045 kes positif yang dicatat hari ini telah membawa Malaysia ke jumlah 1,013,438 kes kumulatif.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia baru-baru ini telah memulakan suatu gerakan bendera putih di peringkat akar umbi, untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik dan diabai oleh kerajaan.
Seiring dengan tanda pagar #KerajaanGagal, sebuah kempen bendera hitam juga diwujudkan sebagai tanda protes terhadap kerajaan sekarang.
Namun, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin pada 14 Julai berkata, rakyat tidak perlu mengibar bendera putih atau hitam, kerana kerajaan tidak gagal.
Tambah Mahiaddin, bantuan sedang diagih. Malah dapur para penerima juga dipenuhi dengan bantuan kerajaan.