Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan Maybank, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir mengumumkan peletakan jawatannya daripada kumpulan perbankan itu berkuatkuasa 15 Julai ini.

Maybank dalam satu kenyataan semalam berkata, Amirul Feisal mengundur diri untuk mengambil jawatan sebagai Pengarah Urusan di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Minggu ini, akhbar kewangan Edge Weekly melaporkan bahawa Amirul akan mengambil alih sebagai Pengarah Urusan syarikat pelaburan negara, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang terletak di bawah Kementerian Kewangan.

Untuk rekod, Menteri Kewangan sekarang, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB.

Amirul menyertai Kumpulan Maybank pada September 2008 sebagai Pengarah Urusan, Ketua Perbankan Pelaburan, Maybank Investment Bank.

Beliau kemudian menyertai Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada September 2010, dan kemudiannya dipinjamkan ke Chemical Company of Malaysia Bhd, seterusnya dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan syarikat berkenaan pada 2011.

Selepas itu, beliau menyertai semula Maybank sebagai Ketua, Perbankan Global Kumpulan pada bulan Oktober 2014, dan dilantik sebagai GCFO pada Julai 2016.

Beliau diiktiraf sebagai CFO Terbaik untuk Perhubungan Pelabur (Syarikat Modal Besar) di Anugerah Perhubungan Pelabur Malaysia pada 2018.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata Amirul Feisal adalah ahli yang penting dalam Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan Maybank, dan juga berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kredit Pengurusan Kumpulan, serta pengarah Maybank Ageas Holdings Bhd serta Etiqa International Holdings Sdn Bhd, antara lainnya.