24.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 28, 2021

Bella Didera Ketika Di Bawah Penjagaan Tokoh Puteri UMNO

Baru-baru ini tular di media sosial satu video tentang seorang anak istimewa down syndrome yang dikenali sebagai Bella, yang didera.

Ketika didera, Bella berada di bawah penjagaan Siti Bainun Ahmad Razali.

Sebagai rekod, Siti Bainun merupakan tokoh Puteri UMNO yang menerima Anugerah Khas Pergerakan Puteri UMNO dari bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2016.

Siti Bainun juga merupakan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Ampang, yang kemudiannya menawarkan diri sebagai calon Ketua Puteri UMNO Bahagian Ampang dan calon Parlimen Belia Malaysia.

Calon Ketua Puteri UMNO Bahagian Ampang

Calon Parlimen Belia

Sedikit kronologi telah dikongsikan oleh saudara Mohd Fadli Salleh berkenaan penderaan terhadap Bella:

Ketika berusia 7 tahun, Bella dijaga dengan baik di Rumah Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah.

Pada tahun lalu semasa dia berusia 12 tahun, Bella dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak untuk menyambung perintah penjagaan di rumah berkenaan.

Ketika itulah Bella telah bertemu Siti Bainun Ahmad Razali yang merupakan pengasas Rumah Bonda.

Bila melihat Bella, Siti Bainun telah meminta hakim untuk peluang kepada beliau menjaga Bella, lalu permohonannya itu diluluskan.

Kata Siti Bainun, dia sukakan kehadiran kanak-kanak down syndrome ini.

Sejak hari itu, Bella dibawa untuk menetap di Rumah Bonda sejak Julai 2020 hingga hujung Oktober 2020 kerana Siti Bainun juga tinggal di situ.

Penghuni Rumah Bonda sempat berkenalan dan bermesra dengan Bella yang menetap di sana untuk tempoh lebih kurang empat bulan.

Tamat saja tempoh itu, Bella kemudiannya dibawa menetap bersama Siti Bainun di kondo milik Siti Bainun.

Sejak itu, sukarelawan di Rumah Bonda terputus hubungan dan tidak lagi mendengar sebarang berita tentang Bella.

Sekitar bulan Februari atau Mac tahun 2021, sukarelawan Rumah Bonda ada berjumpa dengan Bella di kondo yang dimiliki Siti Bainun.

Pada waktu itu, Bella belum mempunyai sebarang kesan cedera fizikal seperti yang tular sekarang,

Namun Bella memaklumkan dia tidak lagi mahu menetap bersama Bonda (Siti Bainun). Adik Bella banyak berkurung di dalam bilik dan tidak gembira seperti waktu dia masih di Rumah Bonda.

Sukarelawan Rumah Bonda bertemu Siti Bainun dan meminta agar beliau mengizinkan Bella pulang ke JKM memandangkan Bella tidak gembira menetap di sana Siti Bainun.

Bagaimanapun, Siti Zainun menolak permintaan tersebut dan meminta para sukarelawan yang hadir untuk tidak masuk campur terhadap urusan Bella.

Terdiam sajalah sukarelawan itu memandangkan dia hanya merupakan sukarelawan dan Siti Bainun ialah pengasas.

23 Jun yang lalu, semua penghuni Rumah Bonda termasuk anak-anak yang menetap di kondo tersebut dikuarantin kerana penularan wabak COVID-19. Pada waktu inilah semua kepincangan terdedah.

Luka fizikal adik Bella tidak lagi dapat disorok daripada pengetahuan doktor dan sukarelawan Rumah Bonda.

Di sinilah bermulanya kes Bella yang disyaki didera. Namun pada masa itu, ia hanya diketahui beberapa pihak saja dan tidak secara meluas seperti sekarang setelah Puan Mona Din menularkan isu ini.

Hari ini, kisah tadik Bella bukan hanya mendapat perhatian warganet malah golongan selebriti turut mahukan Bella mendapat pembelaan sewajarnya.

Di antara selebriti yang menegakkan isu ini ialah seperti Abby Abadi, Fizo Omar, Sharnaaz Ahmad dan Erra Fazira. Masing-masing mahu si pelaku dikenakan hukuman setimpal setelah melihat keadaan Bella yang amat menyayat hati.

Bagaimanapun, kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungin menyebabkannya mengalami kecederaan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sama-samalah kita doakan agar anak syurga ini mendapat pembelaan dan pesalah dikenakan hukuman setimpal.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

118,559FansLike
731FollowersFollow
438FollowersFollow

Berita Terkini