Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah memadam tweet yang menggelar pemimpin-pemimpin PAS sebagai “Tok Lebai”.
Semakan ke akaun Twitter Azmin mendapati, tweet yang dimuatnaik pada 21 Mac 2017 itu telah diturunkan, ekoran terjalinnya kerjasama di antara parti Azmin, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di bawah bumbung Perikatan Nasional (PN).
Untuk rekod, tweet “Tok Lebai” yang dimuatnaik oleh Azmin itu dipercayai merujuk kepada Ketua Pemuda PAS pada ketika itu, iaitu Nik Abduh Nik Aziz.
Ini kerana Nik Abduh telah menyatakan hasrat menawan Selangor, walaupun tewas dalam pemilihan parti di kawasan sendiri apabila memperolehi 37 undi sahaja, berbanding lawannya yang memperolehi 207 undi.
Pada 22 Mac 2017, tweet Azmin telah dibalas oleh Nik Abduh melalui Facebook.
Nik Abduh menyatakan bahawa pihaknya berasa bangga kerana sinisannya mendapat komentar Azmin.
“Jarang anak Melayu bertuah gini,” ujar Nik Abduh.
Namun, sindiri menyindir di antara Azmin dan PAS tidak berakhir di situ.
Dua hari kemudian, pada 24 Mac 2017, Azmin telah memerli PAS dengan menukar gambar profil di kesemua akaun media sosialnya – Facebook, Twitter dan Instagram – kepada gambar baru yang memakai jubah dan kopiah putih.
Tindakan Azmin itu ternyata mengundang kemarahan meluas di peringkat akar umbi PAS.
Beberapa hari kemudian, pada 27 Mac 2017, Azmin telah mencerca PAS sekali lagi dalam satu pertemuan tertutup.
“Tak payah pakai macam Tok Lebai. Lebai tak lebai ni pun dalam hati.”
“Kalau pakai macam Tok Lebai perangai hodoh tak boleh juga,” kata Azmin.