28.6 C
Kuala Lumpur
Monday, May 23, 2022

Anak Najib Akui Mahu Bekerja Dengan Goldman, Tetapi Ditolak Mentah-mentah

Nooryana Najwa Najib, anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengaku pernah bertemu dengan dua bekas pegawai tinggi Goldman Sachs yang terlibat dalam kes rasuah berkait 1MDB, iaitu Tim Leissner dan Roger Ng.

Melalui sebuah posting Facebook, Nooryana juga mengakui berminat dengan peluang bekerja dengan Goldman.

“Benar. Saya bertemu bersama Tim Leissner dan Roger Ng untuk bertanya tentang program penganalisis Goldman Sachs.”

“Saya ada bertanya sama ada Goldman Sachs mempunyai jawatan yang memerlukan pelbagai kemahiran. Saya disiapkan untuk jalani temu duga dengan mereka.”

“Dan benar, saya diberitahu Goldman Sachs mempunyai perniagaan dengan kerajaan Malaysia, maka saya ditolak kerana konflik kepentingan.”

Susulan penolakan tersebut, Tim telah memperkenalkan Nooryana kepada kumpulan dana pelaburan TPG, sambil menambah latar pendidikannya “sesuai” dalam urusan mengumpul dana pelaburan.

“Saya jalani temu duga bagi jawatan penganalisis pelatih di pejabat TPG London. Ya, saya seorang pelatih.”

Selepas mendapat kerja sebagai pelatih di TPG, Nooryana berkata dia bekerja di sana sekitar 11 bulan sebelum dinaikkan pangkat sebagai penganalisis sepenuh masa melalui penilaian prestasi dalaman firma tersebut.

Dia kemudiannya dipindahkan ke TPG Hong Kong di mana dia bekerja di sana selama dua tahun setengah bagi mengusahakan pengumpulan dana pelaburan TPG Asia.

“Akhirnya, saya tinggalkan TPG pada Jun 2015 bagi menumpukan perhatian pada perniagaan sendiri dan memohon untuk menyambung pendidikan saya.”

Tim yang merupakan bekas Pengerusi Goldman di Asia Tenggara kini menjadi saksi utama di mahkamah terhadap Roger yang didakwa menerima jutaan dolar dalam bentuk rasuah bagi membantu menyelewengkan wang dari 1MDB.

Roger mengaku tidak bersalah terhadap beberapa pertuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah.

Pada 22 Februari, Tim memberitahu mahkamah Goldman perlu mendapatkan kerja untuk anak Najib di bank itu sebagai balasan bagi tawaran perniagaan yang menguntungkan.

Tim juga memberitahu juri bahawa Roger trlah menghantar e-mel kepadanya mengatakan mereka akan “usahakan supaya anak Najib boleh menyertai Goldman”.

Bagaimanapun, beliau akhirnya hanya dapat membantu anak Najib itu untuk bekerja di TPG.

Dalam sebuah hantaran Facebook semalam, Najib telah berkata tiada seorang pun daripada anaknya ditawarkan kerja di Goldman Sachs.

Dalam posting tersebut, beliau telah mengelak menyentuh pertemuan di antara anaknya dengan Tim Leissner dan juga minat anaknya dengan Goldman.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

118,559FansLike
731FollowersFollow
438FollowersFollow

Berita Terkini